Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) memberi masa sehingga Sabtu depan kepada Syakilla Salni Jefry Krishnan untuk memutuskan sama ada mahu mengikuti program latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) atau sebaliknya selepas dia tidak hadir ke sesi latihan selama dua minggu.

Syakilla gagal memberi komitmen dalam sesi latihan sejak kehadiran ketua jurulatih baru, Ali Reza Souleymani, Disember lalu.

Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad, berkata prospek utama Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu secara peribadi sudah menyatakan hasrat untuk berlatih sendirian kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan jurulatih berusia 61 tahun dari Iran itu.

Bagaimanapun, MAKAF tidak akan memaksa Syakilla andai dia kekal dengan keputusannya.

"Dia bertujuan untuk membuat latihan sendiri tetapi kami juga mengikut prosedur MSN kerana tidak mahu atlet diberi terlalu banyak kebebasan tanpa mengikuti perancangan MSN sendiri," kata Nur Azmi.

Selain Syakilla, S. Prem Kumar dan R. Sharmendran juga masih belum menandatangani kontrak bersama MSN.

Bagaimanapun, Nur Azmi, yang ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bersama MAKAF dan MSN hari ini, menjelaskan Prem tetap hadir ke sesi latihan manakala Sharmendran yang juga kapten skuad negara masih bergelut dengan kecederaan lutut.

"Sharmendran cedera dan kami mahu dia fokus terhadap proses pemulihan. Doktor daripada Institut Sukan Negara (ISN) sedia maklum tentang perkara ini. Kami juga akan membincangkannya dalam mesyuarat exco," tambahnya.