Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) tetap akan membawa isu kos perbelanjaan sendiri ke kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mesyuarat majlis tertinggi nanti.

Pihak MAKAF menganggap isu yang dibangkitkan atlet karate negara, Syakilla Salni Jeffry Krisnan, berhubung kos perbelanjaan sendiri yang perlu dikeluarkan sempena kejohanan kelayakan Sukan Olimpik tidak seharusnya berlaku.

Sehubungan itu, perkara tersebut akan dibincangkan demi kebaikan semua pihak dalam mesyuaratnya esok yang akan turut membentangkan penilaian keseluruhan prestasi atlet dalam Sukan Asia Indonesia baru-baru ini.

"Pihak MAKAF akan bincangkan perkara itu esok.

"Kami akan bincang aspek yang boleh diperbaiki, kami akan duduk bersama demi kemajuan sukan karate di negara ini.

"Kami akan duduk semeja dengan Syakilla dan jurulatih, Andris Vasiljevs, serta pihak berwajib dalam majlis yang akan dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Ali Rustam," kata exco MAKAF, Nik Ismail Rasheed Che Ali.

Terdahulu, Syakilla meluahkan rasa tidak puas hati di laman sosial berhubung atlet perlu menggunakan wang poket sendiri untuk menyertai kejohanan kelayakan Sukan Olimpik.

Liga Perdana Karate 1 di Tokyo bulan depan adalah salah satu kelayakan di mana Syakilla sendiri telah mengeluarkan hampir RM5,000 untuk ke sana.