Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), V. Mahinda, meluahkan rasa gembira selepas
pihak kerajaan meluluskan Kinrara Oval untuk terus beroperasi di tapak asal Pusat Kriket Nasional itu.


Mahinda turut berterima kasih kepada kerajaan atas tindakan yang dilakukan bagi
menyelesaikan kemelut melibatkan MCA dan pemilik tanah selepas berusaha menyelamatkan
venue seluas 5 ekar tersebut.

Keputusan itu sangat bermakna buat MCA apabila badan induk itu sedang membida hak
penganjuran satu lagi kejohanan kelayakan pada Oktober depan, sekali gus meletakkan
Kinrara Oval sebagai venue pilihan.

Sebelum ini, pihak pemaju menghantar notis kepada MCA untuk mengosongkan Kinrara Oval
selewat-lewatnya 31 Oktober tahun lalu.

"Kami sangat menghargai keputusan Kabinet serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Kami
sepatutnya mengosongkan venue Oktober lalu tetapi kini menerima peluang semula," katanya.


Selepas diberi kelulusan, Mahinda mahu memastikan sukan kriket Malaysia terus
membanggakan negara di persada dunia.

"Saya rasa tahun ini kami mahu menjadi hos kepada kejohanan dalam usaha meningkatkan
ranking. Diharapkan semua pihak dapat bekerjasama demi kebaikan sukan ini," ujarnya.