Madhuri pengganti terbaik Syakilla

Oleh Staff Writer 17 Mac 2019 530
Madhuri pengganti terbaik Syakilla
Atlet karate-do negara, P. Madhuri, yang diletakkan sebagai pengganti terbaik kepada Syakilla Salni Jefri Krishnan mengambil keputusan untuk menyertai kategori 50 kilogram dalam Kejohanan Kebangsaan 2019 di Serdang, minggu depan, sekali gus mengelak pertemuan dengan jaguh kumite 55kg itu.

Madhuri menganggap masa belum sesuai untuknya menyertai kategori baru.

Juara kebangsaan dua kali itu masih selesa dengan kategori 50kg walaupun Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) meletakkannya sebagai pengganti terbaik kepada Syakilla.

Atlet berusia 20 tahun itu akan terus beraksi dalam kumite 50kg dan memburu gelaran hatrik Kejohanan Kebangsaan 2019.

"Saya kini di tahap terbaik di bawah bimbingan jurulatih baru (Ali Reza Souleymani).

"Tumpuan saya ketika ini adalah untuk memberikan persembahan terbaik dalam kategori bawah 51kg. 

"Jurulatih mahu kami menumpukan perhatian kepada perkara asas. Dia mahu kami menguasai gerakan asas dan kemahiran teknikal," jelasnya. 

Setakat ini, bekas juara kebangsaan, Nisha Alagasan, sah akan mencabar kategori 55kg dalam Kejohanan Kebangsaan 2019 tatkala Syakilla masih berdepan masalah berat badan.

Syakilla sudah memaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk terus beraksi dalam 55kg dengan perancangan menyambung program latihan bersama bekas pengendali negara, Andris Vasiljevs, di Latvia.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen