Selepas 15 tahun, penganjuran saingan B-17 kebangsaan kembali di Stadium MABA dalam usaha meluaskan pengaruh sukan bola keranjang yang memerlukan bakat baru bagi program kebangsaan.

Selepas edisi 2003, Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) meneruskan pendekatan untuk negeri menjadi tuan rumah.

Tetapi pulangan kurang berhasil serta kegagalan untuk menarik minat memerlukan MABA memikul tanggungjawab sebagai badan induk negara bagi sukan ini.

Edisi 2018 menampilkan 13 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita bermula hari ini hingga Ahad ini.

Kesempatan itu turut diambil ketua jurulatih skuad wanita, Yoong Sze Yuin, untuk mengenal pasti bintang masa depan negara.

"Sebab utama MABA kembali menganjurkan Kejohanan Kebangsaan adalah kerana kami ingin menganjurkan perlawanan yang mencapai kualiti sebenar bola keranjang.

"Ini termasuklah saiz sebenar gelanggang dan kemudahan itu ada di MABA.

"Kalau ahli gabungan negeri dapat menyediakan kemudahan serupa, maka kami akan membenarkan mereka menganjurkan Kejohanan Kebangsaan.

"Contohnya, dua hari lalu Sabah telah memohon untuk menganjurkan Kejohanan Kebangsaan.

"Sekiranya Persatuan Bola Keranjang Sabah sudah bersedia, sayalah orang pertama yang akan menyatakan sokongan," kata Presiden MABA, Datuk Lua Choon Hann.