Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman, mempamerkan kayuhan terbaik sepanjang saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 selepas menjadi pelumba tempatan tunggal untuk berada dalam kelompok 30 terbaik peringkat ketujuh dari Nilai ke Muar hari ini.

Peringkat yang membabitkan jarak sejauh 222.4 kilometer itu merupakan yang terpanjang dalam saingan kali ini dan pastinya memberikan cabaran tersendiri buat pelumba.

Ia turut merangkumi tiga zon pecutan di samping enam kawasan pendakian, antaranya di Bukit Putus dan Seri Menanti, sekali gus menjadi peluang buat pakar pendakian memburu mata bagi perebutan jersi merah Raja Bukit.

Ketika jarak di antara pendahulu dan kelompok utama semakin besar, Zawawi kekal dengan rentak kayuhannya untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-24 dengan catatan 5 jam 9 minit 51 saat.

Berbaki satu lagi peringkat, Zawawi bertekad ingin memastikan dirinya mampu untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok utama, sekali gus membantu TSC meraih posisi lebih baik dalam kedudukan berpasukan keseluruhan selepas mencuri mata dalam zon pecutan kedua di Tampin serta mengungguli kawasan pendakian keenam di Bukit Miku ketika peringkat ketujuh.

"Strategi Sapura untuk bertahan di setiap laluan bukit pada hari ini telah menjadi. Empat pelumba daripada pasukan tempatan berada di depan Sapura, cuma Dylan Page yang terlepas break away terakhir.

"Saya berpuas hati dengan prestasi hari ini berbanding peringkat kelima sebelum ini. Sebelum ini, saya terkandas pada break away ketika perlumbaan berbaki 15km," ujar Zawawi.

Sementara itu, peringkat ketujuh dimenangi oleh pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Manuel Belletti, sambil 12 daripada pelumba keseluruhan gagal menamatkan perlumbaan.

Belletti mula mengorak langkah pada zon pecutan ketiga di Tangkak ketika perlumbaan berbaki 30km ke garisan penamat.

Hasil bantuan rakan sepasukan, dia berjaya menempatkan diri di bahagian depan, sekali gus menamatkan saingan selaku juara dengan catatan 5jam 8:23 saat sementara tempat kedua milik pelumba Willier Triestina - Selle Italia, Eugert Zhupa, diikuti Ruslan Tleubayev daripada pasukan Astana.

"Satu perlumbaan yang menakjubkan. Peringkat ini begitu mencabar dan pasukan kami berjaya menguasai kelompok utama. Saya amat gembira dengan kemenangan ini," kata Belleti.