Jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Mohd Yusof Abdul Nasir, terpaksa merombak pasukan dengan menggugurkan dua pelumba Team Sapura Cycling (TSC) yang diarah menyertai Jelajah Thailand ekoran perubahan tarikh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019.

Yusof terpaksa melakukan rombakan terhadap 10 pelumba kebangsaan yang dipilih minggu lalu.

Pelumba TSC, Mohamad Izzat Helmi dan Akmal Hakim Zakaria, terpaksa menarik diri kerana menyertai Jelajah Thailand yang bertembung tarikh dengan LTdL bermula 6 April depan.

Justeru, Yusof merancang memanggil pelumba lain sebagai pengganti.

"Pelumba Sapura yang akan beraksi dalam Jelajah Thailand itu adalah pelumba kami. Jadi, kami akan kurangkan dua pelumba dan kemungkinan akan membawa masuk Nik Mohd Azwan Zulkiflie ke dalam pasukan," katanya.

"Saya rasa ia masih tidak menjejaskan pasukan. Mengikut perancangan, apabila laluan sudah bertukar iaitu dari Kuala Lumpur ke Langkawi, kami lebih memerlukan pelumba yang boleh mendaki bukit."

Selain skuad kebangsaan, Malaysia akan turut diwakili TSC dan Terengganu Cycling Team.