Terengganu Cycling Team (TSG) menyasarkan kelompok lima terbaik individu keseluruhan, termasuk dua kedudukan podium, dalam perlumbaan berbasikal ​Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dari 6 hingga 13 April ini.

Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata pasukan benua itu meletakkan sasaran sederhana kerana tidak mahu memberikan tekanan kepada barisan pelumbanya bagi edisi kali ini.

Berdasarkan rekod pencapaian edisi lalu, katanya, sandaran diletakkan kepada Artem Ovechkin dan Drew Morey untuk peringkat pendakian manakala Mohd Harrif Saleh dan Youcef Reguigui untuk mengejar podium.

“Mohd Zamri Saleh masih dikekalkan sebagai kapten pasukan dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki akan memberi bantuan pada saat-saat yang diperlukan pasukan,” kata Nasiruddin.

Nasirudin berkata TSG yang kini menduduki tangga kedua dalam ranking Jelajah Asia UCI dilihat mampu mempertahankan jersi kuning yang dimenangi Ovechkin dalam edisi tahun lalu.

Ovechkin bakal dibantu oleh pelumba berpengalaman, Morey, bagi merebut tempat saingan LTdl 2019 di peringkat pendakian di Genting Highlands yang disenaraikan semula kali ini.

Khidmat pemenang edisi 2015, Reguigui, juga akan digunakan oleh TSG bagi merebut kelompok hadapan dalam saingan henjutan beramai-ramai di peringkat laluan mendatar bersama-sama Zamri Saleh dan pakar pecut negara, Harrif Saleh.

Saingan jelajah berbasikal tertua di Asia ini bakal disertai oleh 22 pasukan yang melibatkan lapan peringkat perlumbaan.

Perlumbaan akan bermula di hadapan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur pada 6 April sebelum melabuhkan tirainya di Langkawi 12 dan 13 April ini.

Peringkat pendakian di Genting Highlands setinggi 1,700 meter menjadi tarikan utama jelajah kali ini yang bermula dari Shah Alam dalam peringkat empat dan menyusuri laluan pantai barat Semenanjung Malaysia sejauh 1,250km.

-- BERNAMA