Team Sapura Cycling (TSC) mengenal pasti dua pakar pendaki yang akan diketuai Ahmad Zawawi Azman dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dari 6 hingga 13 April depan selepas pihak penganjur mengumumkan laluan pendakian membabitkan Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Perubahan tarikh LTdL 2019 menyaksikan semua pasukan terpaksa merangka semula strategi mereka.

Selain menghantar pasukan B menyertai Jelajah Thailand, TSC juga sedang mengenal pasti enam pelumba untuk mengibarkan cabaran mereka dalam LTdL.

Pendakian kelas 'hors' ke Genting Highlands dan Cameron Highlands meletakkan pendaki seperti Zawawi dan pelumba import, Benjamin Dyball, sebagai pilihan utama.

"Laluan tahun ini sememangnya mencabar dan saya mengalami peningkatan dalam pendakian setiap tahun.

"Saya berharap dapat lebih meningkat lagi tahun ini," kata Zawawi.

Zawawi muncul pelumba terbaik Malaysia dalam LTdL 2018 apabila menghuni tangga ke-28 keseluruhan.

Cabaran pasti sukar buat wakil negara apabila pihak penganjur, Human Voyage Sdn Bhd, sedang berunding dengan enam pasukan 'pro tour' seperti Astana dan Dimension Data untuk menyertai saingan edisi ke-24 ini.

"Berdasarkan tarikh awal, pasukan A TSC akan menyertai LTdL manakala pasukan B pula akan menyertai Jelajah Thailand.

"Perubahan tarikh LTdL tidak akan memberikan kesan kepada pasukan kami kerana ia sudah ditetapkan sejak dari awal lagi," kata pengurus TSC, Sayuti Zahit.