Pasukan Sapura Cycling (TSC) teruja untuk menawan puncak Genting Highlands menjelang saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 apabila destinasi itu disisihkan selama empat edisi sebelum ini.

Sapura antara pasukan tempatan yang bakal mencabar dalam kalangan 20 pasukan yang bersaing dalam LTdL dari 6 hingga 13 April depan.

Dengan penyenaraian semula Genting Highlands yang mempunyai status Hors dalam laluan saingan, Sapura kini mempersiapkan pakar mendaki untuk menawan puncak itu, antaranya Ahmad Zawawi Azman dan Nur Aiman Zhariff serta pelumba import, Jesse Ewart, Christian Raleniu dan Ben Dyball.

Tambah menarik, Zawawi secara peribadi belum pernah bersaing di Genting Highlands sejak berkecimpung secara profesional.

"Kami tidak pernah daki laluan Genting Highlands dan akan mengujinya esok.

"Sapura sudah biasa dengan laluan berbukit, Insya-Allah laluannya tidak banyak bezanya dengan laluan kelas Hors yang lain," katanya.

Sapura masih belum mengumumkan senarai akhir enam pelumba yang akan menyertai LTdL 2019.

Persaingan dijangka sengit memandangkan Sapura mempunyai dua pasukan yang terdiri daripada 13 pelumba yang merangkumi warga tempatan dan luar negara.

"Saya berasakan kami akan memulakan perlumbaan dengan cemerlang sejak awal saingan berbanding perlumbaan kami dalam beberapa edisi yang lalu," kata Ewart.