Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bersedia menyelamatkan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 sekiranya pengurus acara yang dilantik, Human Voyage, berkeras mahu menukar tarikh penganjuran.

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab, berkata keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat exco yang berlangsung di ibu pejabat PKBM di Melaka, hari ini, yang membincangkan perkembangan terkini dan kelancaran pengurusan LTdL 2019.

"Mesyuarat Exco hari ini putuskan Human Voyage perlu ikut proses permohonan untuk menukar tarikh penganjuran, iaitu melalui PKBM, untuk dipanjangkan kepada UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) dengan kelulusan ACC (Konfederasi Berbasikal Asia).

"Namun, setakat ini, kami belum terima permohonan rasmi daripada Human Voyage untuk pinda tarikh (penganjuran LTdL 2019). Kami hanya dengar (tentang cadangan pinda tarikh) menerusi media massa dan perbualan," katanya.

Menurut Abu Samah, pihak pengurusan Human Voyage perlu merujuk kepada kalendar perlumbaan yang telah dikeluarkan UCI dan diberi tempoh hingga Khamis ini untuk memaklumkan kepada PKBM mengenai pertukaran tarikh itu.

Beberapa kejohanan telah didaftarkan dan akan dianjurkan di Malaysia, antaranya Kejohanan BMX Asia 2019 (12-14 April); Tour de Iskandar (17-21 April) dan Piala Ketua Menteri Melaka (27 dan 28 April).

"Pada Mei ini, kita akan menyambut bulan Ramadan, diikuti Syawal pada Jun. Human Voyage boleh mencari tarikh sesuai untuk menukar kalendar sedia ada," katanya.

Secara kebiasaannya, LTdL dianjurkan pada bulan Februari atau Mac bagi menarik penyertaan pasukan dari Eropah.

"LTdL ialah kejohanan berstatus 'Hors Classe' yang diadakan pada musim sejuk di Eropah dan sebelum musim perlumbaan bermula di benua tersebut. Dalam hal ini, semua syarikat yang masuk tender KBS telah sedia maklum tentang tarikh tersebut.

"Dalam hal ini, Human Vogaye perlu bertanggungjawab mematuhi tarikh yang ditetapkan pada 24 hingga 31 Mac," katanya, sambil menegaskan keputusan tersebut selari dengan keputusan Mesyuarat Penyelarasan Antara KBS, PKBM dan Human Voyage pada 29 Januari lalu.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengenai pertembungan liputan media LTdL dan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), Abu Samah menegaskan dua acara tersebut adalah dua entiti berbeza.

"Tarikh LTdL 2019 telah dikeluarkan mengikut kalendar UCI. Kebanyakan pasukan telah membuat persediaan dan persiapan sesuai dengan status perlumbaan ini selaku kejohanan 'Hors-Classe'. Kita tak boleh sewenang-wenangnya tukar tarikh," katanya.

Sehubungan itu, Abu Samah berkata pihak Human Vogaye harus bertanggungjawab sekiranya LTdL tidak dianjurkan pada waktu yang ditetapkan dan hilang status tersebut.

-- BERNAMA