Pengurus Team Sapura Cycling (TSC), Sayuti Zahit, menjelaskan pertukaran tarikh penganjuran Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 bakal memberikan kesan yang cukup besar terhadap perancangan pasukan berkenaan musim ini.

Tarikh penganjuran LTdL 2019 sekali lagi menjadi persoalan walaupun ketika ini hanya berbaki enam minggu untuk ia dijadualkan bermula 24 Mac depan.

Ini kerana perlumbaan tersebut bertembung dengan Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang dikhuatiri akan menjejaskan kriteria yang perlu dipenuhi penganjur, iaitu perlumbaan perlu diadakan di pulau berkenaan.

Menurut Sayuti, langkah untuk menunda tarikh perlumbaan itu perlu diperhalusi kerana setiap pasukan sudah mempunyai perancangan sepanjang musim yang turut melibatkan kos.

"Saya terkejut sekiranya LTdL 2019 tidak diteruskan dan ini menyebabkan TSC perlu mencari kejohanan gantian.

"Memandangkan ia berlaku pada saat-saat akhir, saya tidak pasti sama ada jemputan kejohanan yang pernah kami terima masih lagi dibuka atau tidak.

"Lazimnya, proses mendaftar kejohanan sudah pun ditutup," katanya.

TSC baru sahaja menyertai perlumbaan Jelajah Herald Sun di Australia dengan menggunakan saingan itu sebagai medan pemanas badan awal untuk saingan LTdL.

Sayuti turut menjangkakan beberapa pasukan bertaraf pro-benua berkemungkinan tidak akan menyertai LTdL 2019 meskipun ia berlangsung seperti dijadualkan.

"Selepas ini, mungkin agak sukar untuk kita menarik penyertaan pasukan bertaraf pro jelajah.

"Oleh kerana cuaca sejuk di negara mereka, Asia menjadi destinasi pilihan untuk mereka mengikuti perlumbaan manakala sekitar April hingga Jun depan, mereka sudah mula kembali berlumba di Eropah," katanya lagi.