Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, Human Voyage Sdn Bhd, memberi jaminan mereka memiliki sumber kewangan kukuh bagi menjayakan kejohanan edisi ini, sekali gus mengembalikan reputasi perlumbaan itu sebagai salah satu yang paling berprestij di rantau ini.

Human Voyage mendedahkan kos penganjuran edisi ini telah mencecah RM22 juta.

Sebanyak RM8 juta bantuan diperoleh daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan selebihnya ditampung pihak penaja.

Jumlah itu dilihat telah mencukupi untuk menjayakan saingan edisi ini dengan beberapa penaja lagi akan menyusul menjelang permulaan perlumbaan 6 April ini.

"Kami tidak lagi risau mengenai kos kerana kami sudah mengatasinya.

"Kami sedang berbincang dengan beberapa penganjur lagi bagi tujuan komersial dan selainnya sudah boleh dianggap selesai," kata Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa.

Laluan sepanjang perlumbaan juga sudah dimuktamadkan dengan ia akan bermula dari Kuala Lumpur hingga ke garisan penamat di Pulau Langkawi -- meliputi jarak 1,033.2 kilometer.

Pengumuman rasmi mengenai 20 pasukan yang akan mengambil bahagian akan dilakukan minggu depan dengan pihak penganjur mengesahkan penyertaan dua pasukan bertafraf 'pro tour', Astana dan Mitchelton Scott.

"Untuk secara selamat, saya boleh katakan yang kami sudah bersedia sebanyak 90 peratus.

"Kami cuma perlu mengemaskan beberapa perkara.

"Secara teknikalnya, kami sudah bersedia untuk menganjurkannya," tambahnya.