Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage Sdn Bhd, Datuk Ahmad Mustafa, memberi jaminan perubahan tarikh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, April depan, tidak akan menjejaskan penyertaan pasukan kerana pihaknya sedang berunding dengan enam pasukan bertaraf 'pro tour'.

Perubahan tarikh LTdL ke 6 hingga 13 April depan menyaksikan ia bertembung dengan perlumbaan Jelajah Thailand.

Ia dibimbangi akan menjejaskan penyertaan pasukan bertanding kerana LTdL sepatutnya bermula dari 24 Mac depan sebelum diubah kepada tarikh baru bagi mengelak pertindihan jadual dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

Namun, pihak penganjur memberi jaminan jumlah 22 pasukan bertanding akan tetap dikekalkan, termasuk enam pasukan 'pro tour' itu andai mereka bersetuju untuk mengambil bahagian.

"Kami kini hanya menantikan persetujuan daripada mereka untuk menyertai LTdL..

"Proses perbincangan mengenai perkara itu sudah bermula.

"Antara pasukan yang dijemput adalah Astana, CCC Pro Team dan beberapa pasukan lain.," katanya.

Hanya dua pasukan 'pro tour' mengambil bahagian dalam edisi ke-23 tahun lalu, iaitu Astana dan Dimension Data.

Penyertaan pasukan 'pro tour' dan 'pro benua' itu penting bagi mengekalkan status perlumbaan kelas 'hors' Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berpuas hati dengan persiapan pihak penganjur selepas perlu melakukan penjimatan kos penganjuran.

"Jumlah kos penganjuran kali ini merupakan jumlah yang akan menguntungkan negara.

"Setakat ini, kami telah memperuntukkan RM8 juta untuk penganjuran LTdL edisi ini," kata Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

"Ia tidak bermakna pasukan yang menyertai LTdL kali ini merupakan pasukan sama yang akan menyertai Jelajah Thailand.

"Mereka sudah menjemput pasukan yang akan menyertai jelajah itu dan saki-baki daripada pasukan itu mungkin akan menyertai LTdL," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.