Peringkat keenam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 hari ini dimenangi pelumba Willier Triestina-Selle Italia, Luca Pacioni, sementara wakil Terengganu Cycling Team (TSG) terus mengekalkan momentum selepas Hariff Salleh meraih kedudukan ketiga.

Perlumbaan sejauh 108.5km dari Tapah ke Tanjung Malim itu merupakan yang terpendek dalam saingan kali ini dan memberi peluang buat pelumba menyimpan tenaga menjelang peringkat mencabar, esok.

Hanya satu zon pecutan dan satu zon pendakian, masing-masing di Langkap dan Felda Besout menjadi tumpuan.

Hujan pada pertengahan perlumbaan sedikit memperlahankan rentak kayuhan sebelum tempo itu ditingkatkan semula berbaki lima kilometer ke garisan penamat.

Beberapa pasukan mempertaruhkan pakar pecut masing-masing tetapi Pacioni lebih unggul melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 2 jam, 24 minit dan 55 saat di depan Riccardo Minali daripada pasukan Astana serta Hariff ketiga.

"Saya sangat gembira kerana meraih kemenangan ini. Pasukan telah berusaha dengan baik sepanjang saingan ini," kata Pacioni.

Jersi kuning sebagai pendahulu keseluruhan masih kekal milik pelumba TSG, Artem Ovechkin, yang juga mengungguli jersi merah selaku raja bukit.

Persaingan terus sengit untuk gelaran raja pecut apabila penyandang jersi hijau, Minali, mempunyai kelebihan sembilan mata di hadapan Andrea Guardini yang mewakili pasukan Bardiani-CSF.

Pelumba Astana, Yevgeniy Giddich, kekal sebagai pelumba Asia terbaik untuk menyarung jersi putih.

Pelumba tempatan, Hariff, menyifatkan kemenangan di tempat ketiga hadir daripada pencapaian bersejarah TSG semalam apabila Ovechkin menduduki tempat pertama dalam peringkat kelima.

"Kami telah cuba untuk memberikan saingan terbaik dalam peringkat kali ini, saya telah cuba untuk menampilkan persembahan terbaik," kata Hariff.

"Dalam saingan peringkat seterusnya, kami akan cuba mengekalkan momentum dalam memastikan TSG terus mempamerkan aksi cemerlang."