Pelumba pasukan Jelajah Dunia Astana Pro Team, Riccardo Minali, mengungguli saingan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 dari Gerik, Perak ke Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Saingan membabitkan jarak sejauh 208.3 kilometer itu menyaksikan dua zon pendakian, masing-masing di Gerik dan Titiwangsa menjadi tumpuan, khususnya buat pakar mendaki.

Ia disusuli dengan tiga zon pecutan dengan peluang buat kelompok utama mengejar pendahulu.

Berbaki 20km ke garisan penamat, semua pelumba berada dalam kelompok besar tetapi Astana lebih bijak mengatur perancangan, yang menyaksikan Minali melintasi garisan penamat dengan catatan lima jam, 18 minit dan 20 saat.

Matteo Malucelli daripada pasukan Androni Giocattoli-Sidermec mengakhiri saingan di tempat kedua, diikuti pelumba Bardiani-CSF, Paolo Simion, ketiga.

"Peringkat kedua ini ternyata memberikan saingan yang sukar kerana pendakian yang memberikan cabaran kepada semua pelumba. Ia agak panjang dan sukar," kata Minali.

Kemenangan yang diraih Minali menyaksikan dia kini menyandang jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dengan kelebihan lima saat di depan Seo Joon-yong daripada pasukan KSPO Bianchi Asia.

Selain itu, dia turut menguasai saingan raja pecut dengan mengumpul 23 mata, dibezakan empat mata dengan Andrea Guardini.

Jersi raja bukit menjadi milik pelumba Manzana-Postobon, Bernardo Albeiro Suaza Arango.

Sementara itu, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Shahrul Mat Amin, mengubati kekecewaan pasukannya apabila menjadi pelumba tempatan terbaik dalam peringkat kedua.

"Kami terpaksa melakukan perubahan dalam perancangan ketika melakukan perlumbaan dan ia membuahkan hasil buat kami," kata Shahrul.

"Esok kami akan terus mempamerkan perlumbaan yang terbaik dan cuba mendapatkan tempat di podium."