Penganjur Kejohanan Berbasikal Tour de Iskandar 2019 menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menukar tarikh perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang dijadualkan tamat pada 13 April depan, iaitu tiga hari menjelang majlis memperkenalkan pasukan perlumbaan di Johor.

Ini kerana kebanyakan kontraktor yang terbabit dengan LTdL 2019 juga memainkan peranan dalam perlumbaan sulung Tour de Iskandar 2019 dari 17 hingga 21 April depan.

Situasi itu pasti memberi kesukaran kepada kontraktor-kontraktor berkenaan untuk menguruskan dua kejohanan dalam masa yang singkat.

Sehubungan itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengadakan mesyuarat dengan penganjur LTdL, Human Voyage Sdn Bhd, esok untuk mencadangkan laluan lebih realistik.

PKBM dilaporkan akan mencadangkan perlumbaan peringkat kelapan di Kuala Lumpur sebagai laluan terakhir LTdL dan langkah itu akan memberi kontraktor lebih masa untuk membuat persediaan perlumbaan kelas 2.2 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Tour de Iskandar.