Perancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengubah tarikh perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 dijangka menerima bantahan banyak pihak tetapi tidak kepada pasukan bertaraf benua, Forca Amskins Racing (FAR).

Kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bahawa pertembungan tarikh LTdL dengan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) perlu dielakkan umpama talian hayat buat FAR.

Mereka sedang menyelesaikan isu penaja untuk mendaftar dalam kalendar perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), termasuk menyertai LTdL

Jika tarikh LTdL 2019 ditunda, ia akan memberi lebih banyak masa untuk FAR menyelesaikan isu dalamannya.

"Pasukan lain sudah bersedia dari awal kerana mereka terlebih dahulu menerima jadual. Apabila perlumbaan ini ditunda, ia agak menjejaskan persiapan mereka.

"Kalau tunda tarikh yang ditetapkan, mungkin pasukan profesional lain tidak boleh datang," kata pengurus FAR, Mohd Faiz Syarifuddin.

"Daripada kami, ia mungkin memberi kelonggaran untuk mempersiapkan diri dengan lebih baik sebelum menyertai LTdL tahun ini."

Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan mengadakan mesyuarat di Melaka esok untuk menyelesaikan isu tarikh LTDL yang sepatutnya bermula 24-31 Mac depan.

KBS pula sudah memanggil PKBM dan penganjur, Human Voyage, untuk sesi mesyuarat di Putrajaya Khamis nanti.