LTdL: Bukan mudah UCI benarkan ubah tarikh

Oleh Staff Writer 13 Februari 2019 819
LTdL: Bukan mudah UCI benarkan ubah tarikh
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan menyalahkan penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, Human Vovage, sekiranya saingan berkenaan tidak dapat dianjurkan pada tarikh yang ditetapkan sehingga LTdL hilang status acara kelas hors.

Human Voyage mempunyai tempoh tujuh minggu sahaja lagi untuk menganjurkan saingan LTdL yang memasuki edisi ke-24.

Kesuntukan waktu itu menyaksikan mereka berhasrat untuk menunda kejohanan terbabit ke tarikh baru, namun mendapat bantahan PKBM yang berasakan tindakan itu akan menyusahkan badan induk tersebut yang perlu berurusan semula dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Selain itu, penundaan tarikh bakal menyaksikan pasukan Eropah menarik diri daripada LTdL kerana bertembung dengan kalendar kejohanan antarabangsa lain.

"UCI perlu mengadakan mesyuarat terlebih dahulu tetapi ini tidak bermakna sebaik mendapat surat penundaan, mereka akan terus bersidang.

"Mereka akan merujuk kepada Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) terlebih dahulu.

"Kebiasaannya, jika tarikh baru LTdL itu bertembung dengan kejohanan lain, maka ACC tidak akan membenarkannya.

"Baik UCI ataupun ACC akan memaklumkan mengenai pertukaran tarikh ini," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

PKBM juga masih menanti pembentangan daripada Human Voyage sama ada laluan peringkat kelima yang menjanjikan penamat di Genting Highlands setelah beberapa musim sebelum ini tidak berada dalam kalendar, sudah mendapat persetujuan daripada pihak berkaitan.

"PKBM memang mahu peringkat di Genting Highlands diadakan kerana ia menjadi idaman pelumba Eropah. 

"Kalau tidak, kami terpaksa ubah laluan ke Cameron Highlands atau Frasers Hill," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen