Strategi pelumba Forca Amskin Racing (FAR), Nik Mohamad Azwan Zulkiflie, membuahkan hasil selepas dia menjadi pelumba tempatan terbaik pada peringkat pertama saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 hari ini.

Penampilan FAR dalam LTdL 2018 merupakan perlumbaan sulung pasukan itu sejak ia ditubuhkan hujung tahun lalu.

Begitupun, mereka membuktikan mampu menampilkan saingan, khususnya menerusi Azwan, yang melakukan pemecahan bersama dua lagi pelumba pada pertengahan saingan.

Pelumba lebuhraya kebangsaan itu berjaya menduduki tempat kedua dalam dua zon pecutan, masing-masing di Alor Setar dan Guar Cempedak, di samping zon pendakian di Bukit Selambau, sekali gus memberikannya mata bonus.

"Kami telah cuba memberikan yang terbaik dalam peringkat pertama dan berharap untuk meneruskan momentum ini," kata Azwan.

Ternyata pencapaian yang diraih Azwan ini memberikannya lebih motivasi untuk menghadapi peringkat kedua dari Grik ke Kota Bharu, esok.

Saingan LTdL ini dijangka akan lebih dikuasai oleh pakar pendakian dengan dia mengharapkan dua tonggak import FAR, Alvaro Duerte serta John Ebsen, dapat menjadi taruhan utama pasukan.

"Saingan esok adalah satu saingan yang panjang, pendakian sudah bermula sejak awal perlumbaan dan berharap setiap perancangan berhasil."

Peringkat pertama menyaksikan pelumba Bardiani-CSF, Andrea Guardini, mempamerkan kayuhan bertenaga untuk muncul juara.

Peringkat sejauh 147.9 kilometer ini bermula di Kangar, Perlis menuju ke Kulim, Kedah dengan tiga zon pecutan serta satu kawasan pendakian menjadi halangan.

Seperti dijangka, kelompok besar bersaing hebat untuk menuju ke garisan penamat, namun Guardini lebih unggul dengan melintasi garisan penamat selaku juara dengan catatan 3j29:04 saat.

Seon Joon Yong daripada pasukan KSPO Bianchi Asia berada di kedudukan kedua, diikuti pelumba Dimension Data, Mekseb Debesay, di tempat ketiga.

Selain menyarung jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan, Guardini juga menguasai kedudukan raja pecut dengan mengumpul 19 mata.

Untuk rekod, ini merupakan kemenangan peringkat ke-23 buat Guardini sejak dia menyertai saingan LTdL pada 2011.

"Selepas dua tahun, saya kembali melakar kemenangan dalam LTdL. Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan di atas kejayaan ini," kata Guardini.