LTdL 2020 berstatus siri profesional

Oleh Staff Writer 7 Oktober 2019
LTdL 2020 berstatus siri profesional
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berjaya dalam rayuannya kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 akan mendapat status baru sebagai perlumbaan siri profesional.

LTdL berdepan risiko turun pangkat berikutan pertukaran format status perlumbaan di seluruh dunia dengan UCI akan membahagikannya kepada tiga kategori, iaitu jelajah dunia, siri profesional dan sirkit benua, bermula 1 Januari tahun depan.

Dalam siri profesional pula, terdapat dua kategori, iaitu kelas hors atau kelas 1.

Sebelum ini, UCI melucutkan status kelas hors perlumbaan ikonik negara itu apabila tidak berpuas hati dengan ketiadaan pasukan bertaraf profesional dalam saingan April lalu.

Ekoran pelucutan itu, PKBM membuat rayuan kepada UCI bagi kalendar perlumbaan jelajah berbasikal 2020. 

"UCI sedang mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat. 

"LTdL akan diletakkan sebagai perlumbaan siri profesional, ini bermakna tarafnya tidak diturunkan," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab.

Walaupun penyertaan pasukan bertaraf profesional masih menjadi persoalan, Abu Samah optimis penganjur LTdL, Human Voyage, mampu memanggil sekurang-kurangnya enam pasukan profesional bagi edisi tahun depan.

"Untuk (edisi 2020), kami sedang melakukan persiapan lebih awal dan sekarang ini baru bulan Oktober, sekurang-kurangnya kami berhasrat mendapatkan enam penyertaan bertaraf profesional," katanya lagi. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa, berkata usaha menjayakan edisi ke-25 sedang giat dijalankan apabila berkata: "Kami akan pastikan mininum enam (penyertaan pasukan profesional). 

"Kami perlu bekerja keras untuk mendapatkan penyertaan pasukan. 

"Mungkin kami cuba mendapatkan penyertaan 10 pasukan profesional."

LTdL 2020 dijadual berlangsung pada Februari depan dan mempunyai 10 peringkat, bermula dari Sabah sehingga laluan penamatnya di Langkawi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen