Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) enggan mengikut telunjuk penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019, Human Voyage, yang berhasrat untuk menukar tarikh perlumbaan itu yang sepatutnya berlangsung pada Mac depan.

Mesyuarat pertama mengenai saingan LTdL 2019 disertai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain PKBM dan Human Voyage.

Penganjur berhasrat untuk menukar tarikh memandangkan tarikh asal 24 Mac dirasakan suntuk untuk membuat persiapan rapi, namun PKBM bertegas memandangkan pelan asal sudah pun diusulkan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Kami perlu bersifat adil kepada semua pihak dan tarikh saingan LTdL tidak boleh diubah dan kekal bermula pada 24 Mac," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab.

Turut dibincangkan adalah laluan yang bakal digunakan, dengan penganjur berjanji untuk memasukkan Genting Highlands yang sudah empat musim tidak berada dalam senarai laluan.

Sebanyak lapan peringkat dicadangkan bermula di Langkawi dan akan diakhiri di Dataran Merdeka pada 31 Mac meliputi jarak sejauh 1,023 kilometer.

"Kami masih lagi menantikan kelulusan daripada pihak Genting Highlands untuk digunakan sebagai laluan LTdL dan berharap ia dapat disertakan dalam saingan musim ini," katanya lagi.