Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan pasukan Forca Amskins Racing (FAR) digugurkan daripada bersaing dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 selepas gagal mengemukakan dokumen pendaftaran dalam tempoh ditetapkan.

Beberapa pelumba dalam pasukan Forca Amskins masih menanti status pasukan itu apabila masih belum mendapat pengesahan daripada PKBM sehingga salah seorang daripada mereka, Amir Mustafa Rusli, sudah pun mengumumkan persaraan.

Bagaimanapun, PKBM menjelaskan Forca Amskins gagal mengemukakan sebarang dokumen sejak Disember lalu untuk proses pendaftaran sehingga kini, justeru mengesahkan mereka tidak akan menyertai saingan LTdL 2019.

Ini bermakna hanya tiga pasukan dari Malaysia yang akan menyertai perlumbaan itu -- pasukan kebangsaan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC).

"Mereka tidak memberikan sebarang dokumen kepada kami dan kami mengesahkan Forca Amskins tidak akan menyertai saingan LTdL," kata Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abdul Wahab.