Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi Osman, memberi jaminan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) akan terus beroperasi di Kompleks Tenis Jalan Duta biarpun venue itu akan diserahkan kepada pihak swasta.

Menurutnya, persatuan itu tidak perlu bimbang kerana PSM sudah mencapai persetujuan bersama syarikat swasta yang berminat mengurus kompleks tersebut.

Jelasnya, syarikat yang memenangi tender terbabit perlu membenarkan LTAM beroperasi seperti biasa, malah membenarkan pemain negara berlatih tanpa sebarang bayaran.

Ini bermakna kedudukan dan tugas LTAM untuk mengurus tadbir tenis di Malaysia tidak terjejas.

"Kami akan kekalkan mereka di sana. Itulah syarat yang diberikan kepada semua penender yang perlu memberikan kerjasama kepada LTAM semasa mengurus tempat tersebut.

"Selain itu, apa sahaja perjanjian di antara LTAM dan PSM, mereka akan ikut. Bagi kami, LTAM tidak perlu risau sebab mereka memang akan ada di situ," katanya.

Pengumuman mengenai syarikat yang bakal mengurus Kompleks Tenis Jalan Duta dijangka diumumkan pada Mac depan.

Mereka bakal mengurus sewa gelanggang, mewujudkan lebih banyak kejohanan dan mempromosikan sukan itu untuk menarik minat pemain muda.