Kegagalan menunaikan janji manis dalam dua kejohanan utama tahun lalu mungkin menjadi faktor perpisahan di antara ketua jurulatih skuad kebangsaan, Suresh Menon, dan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM).

Sejak melantik Suresh sebagai ketua jurulatih negara, Januari tahun lalu, LTAM menunaikan hampir setiap permintaan pengendali itu dengan harapan ada pulangan dalam Piala Davis dan Sukan SEA Filipina.

Bagaimanapun, dia gagal membawa Malaysia kembali ke Kumpulan Dua, Piala Davis peringkat Asia/Ocenia daripada Kumpulan Tiga.

Selain itu, situasi Malaysia pulang dengan tangan kosong dalam Sukan SEA di Filipina juga dilihat mampu menjadi punca rombakan diadakan selepas perbelanjaan besar dikeluarkan sebelum ini.

"Ketika ini, perbincangan sedang dilakukan. Saya nak cakap lebih, mungkin dibincangkan semula.

"Mungkin akan ada pembaharuan tetapi setiap langkah semestinya mahukan hasil. Jika hasil tiada, pemegang taruh akan mempersoalkan mengapa kami tidak mengambil tindakan," kata Naib Presiden 1 LTAM, Datuk Salahuddin Ahmad Kamal.

LTAM juga menegaskan keperluan untuk memastikan pemain terbaik negara seperti Syamirul Shahril Adam Das dan Sofia Suhana Adam Das diberi pendedahan dalam saingan kompetitif secara konsisten musim ini.

"Pihak organisasi sedang melihat daripada sudut berbeza. Mengenai jurulatih, mungkin belum masanya. Namun, kami cuba lakukan yang terbaik untuk persatuan," katanya lagi.




Editor: Nafis Abdullah