Jurulatih renang seirama negara, Long Yan, bersedia dengan kemungkinan kehilangan kekuatan utama skuad negara, Lee Yhing Huey, menjelang persediaan ke Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos depan.

Khabar gembira melibatkan Yhing Huey yang kembali menjalani latihan bersama skuad negara tidak lama apabila atlet itu mengadu masih mengalami kesakitan di bahagian bahunya ekoran pembedahan yang dilakukan awal tahun ini.

Perkara itu umpama petanda awal mustahil Yhing Huey mampu pulih dengan segera walaupun tempoh pemerhatian selama sebulan diberikan Long Yan.

"Dia kembali untuk latihan dan saya gembira kerana dia sangat kuat dalam pasukan ini. Bagaimanapun, buat masa ini bahunya masih belum mampu melakukan beberapa pergerakan, membuatkan kami risau," kata Long Yan.

Resah dengan perkhabaran baru itu, Long Yan tetap bersedia dengan menetapkan Nur Liyana Nadirah Mohd Fairuz dan Foon Yan Nie sebagai pengganti sekiranya Yhing Huey gagal berada pada prestasi sepatutnya.

Yhing Huey sendiri akur jika keadaan tidak mengizinkannya untuk mewakili negara dalam Sukan Asia, dia akan mengambil kesempatan itu untuk melakukan pembedahan kali kedua demi kelangsungan dalam Sukan SEA Manila tahun depan.

"Sudah tentu saya akan menggunakan masa yang ada untuk memulihkan bahu dan memastikan diri lebih kuat apabila kembali.

"Sebelum ini, doktor menjelaskan ia memerlukan kira-kira tiga bulan untuk pulih dan kembali pada tahun depan apabila akan ada saingan Sukan SEA," kata Yhing Huey