Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) telah mengambil keputusan untuk menggantung selama empat tahun atlet yang gagal dalam ujian doping bagi tahun ini dan tahun lalu.

Tumpuan utama terarah kepada atlet senior, Hafifi Mansor, yang diuji positif bagi oxymethalone, sejenis ejen steroid, ketika menyertai Terbuka Australia, Mac tahun lalu.

Dia digantung bermula 17 Mac tahun ini sehingga 17 Mac 2021.

Turut digantung ialah pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018, Fazrul Azrie Mohdad, yang diuji positif bagi stanozolol, menyebabkannya digantung bermula 28 Mac tahun ini dan berakhir pada 28 Mac 2022.

Tiga lagi atlet muda angkat berat, iaitu Hakimi Haikal Nordin, Zaidi Mohd Nordin dan Ronny Jesus pula digantung bermula 23 Mac sehingga 22 Mac 2022.

"Daripada pihak ADAMAS, kami berpuas hati kerana penggantungan telah dikenakan kepada lima atlet dan kelima-limanya melibatkan bahan terlarang S1, jadi sepatutnya diberi sekatan selama empat tahun.

"Apa yang dikenakan memang patut," kata Penolong Pengarah ADAMAS, Nishel Kumar.

Kelima-lima atlet itu dilarang menyertai mana-mana kejohanan selama tempoh penggantungan dengan keputusan itu telah dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).