Keris Conlay menepati ramalan apabila menempah tiket ke pentas akhir Kejohanan Liga Ragbi Malaysia selepas membenam Serdang Angels 24-10 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Padang Ragbi UPM, hari ini.

Bagi ketua pasukan Keris Conlay, Fairuz Abdul Rahman, kemenangan ke atas Serdang Angels cukup penting dalam misi mereka untuk mempertahankan kejuaraan Liga Ragbi Malaysia tahun ini.

Babak pertama menyaksikan Conlay yang lebih banyak menguasai perlawanan untuk mendahului 7-3 selepas tamat 40 minit pertama permainan.

Babak kedua menyaksikan Conlay terus menguasai perlawanan dan mengesahkan kemenangan dengan keputusan akhir 24-10.

"Kami mendapat tentangan hebat daripada Serdang Angels yang berhasrat untuk memadam kekalahan dalam pertemuan pertama.

"Kami menghadapi masalah dalam separuh masa pertama tetapi bangkit dalam babak kedua untuk menjarakkan mata dengan pasukan lawan," ujar Fairuz.

Dalam pada itu, Serdang Angels yang muncul juara buat kali terakhir pada 2016 terpaksa akur dengan kekuatan lawan.

"Pada awal saingan, kami berjaya mengekang asakan lawan tetapi mungkin akibat kesilapan taktikal, ia memakan diri," kata ketua pasukan Serdang Angel, Zharif Affendi.

Conlay akan berdepan Mersing Eagles dalam aksi final esok selepas wakil dari Johor itu menewaskan UiTM Lions 28-12 dalam satu lagi aksi separuh akhir.