Liga Kriket Dunia: Malaysia langkah kanan

Oleh Staff Writer 29 April 2018 3446
Liga Kriket Dunia: Malaysia langkah kanan

Malaysia memulakan langkah dengan penuh bergaya dalam kejohanan Divisyen 4, Liga Kriket Dunia (WCL) ICC dengan memberi kekalahan mengejut kepada pasukan  pilihan, Uganda, melalui sembilan larian di Kinrara Oval, Puchong, hari ini.

Malaysia, yang berada di tangga 26 dunia dan memilih untuk membuat pukulan dahulu, mencatat kejayaan besar dengan melakukan 208 larian sebelum menjatuhkan kesemua wiket dalam 49.3 over.

Bekas ketua pasukan, Ahmad Faiz Mohammad Noor, membuat pukulan enam empat untuk meraih mata 'half century' (50 larian) manakala Suhan Alagaratnam mencatat pukulan tiga empat dan dua enam bagi mengumpul sejumlah 61 larian.

Dalam separuh masa kedua, Malaysia membuat balingan cantik untuk mengalahkan pasukan ke-25 dunia itu walaupun mendapat tentangan hebat daripada Uganda yang melakukan kejaran hingga mencapai 199 larian sebelum berakhir dengan 49.1 over apabila pembaling, Muhamad Syahadat Ramli, mempamerkan aksi hebat untuk menjatuhkan empat wiket.

Sementara itu, Denmark mengalahkan Bermuda dengan lapan wiket di Royal Selangor Club (RSC) manakala Jersey menundukkan Vanuatu dengan tujuh wiket di UKM Oval, Bangi.

Aksi dalam kejohanan melibatkan enam negara ini akan bersambung esok, dengan  Malaysia akan bertemu Vanuatu di Kinrara Oval, Denmark berdepan Jersey di RSC manakala Uganda berentap dengan Bermuda di UKM Oval.

Hanya dua pasukan teratas  akan mara ke WCL 3 dan seterusnya ke kejohanan Piala Dunia 2023 manakala dua pasukan paling bawah akan diturunkan ke WCL 5.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen