Malaysia mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Divisyen Empat, Liga Kriket Dunia apabila tewas kepada Jersey dalam pertemuan di Kelab Diraja Selangor, Bukit Kiara, hari ini.

Skuad negara turun beraksi berdepan Jersey dengan misi untuk menebus kekecewaan selepas tumpas kepada Denmark semalam walaupun mencatat dua kemenangan dalam aksi terdahulu.

Bagaimanapun, skuad negara gagal menampilkan aksi memuaskan ketika bertindak sebagai pembaling pada sebelah pagi sehingga menyaksikan Jersey cemerlang menerusi 270 larian dengan 8 wiket dalam 50 over.

Tiada pilihan, skuad negara perlu mengatasi larian yang dilakukan Jersey ketika mereka bertindak sebagai pemukul dengan sekurang-kurangnya mencatat 271 larian.

Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila mereka sekadar meraih 221 larian dengan 7 wiket dalam 42 over, sekali gus tewas dengan jurang 10 larian secara keseluruhan.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia jatuh ke tangga keempat liga dengan empat mata selepas empat perlawanan manakala Jersey melonjak ke kedudukan ketiga.

Malaysia seterusnya akan menentang Bermuda, Sabtu ini.