"Saya tidak mahu terlepas peluang ke Tokyo," itu antara misi utama atlet badminton para negara, Cheah Liek Hou, dalam memastikan dia dapat melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Acara badminton buat julung kalinya akan diperkenalkan dalam saingan Paralimpik di Tokyo.

Lantaran itu, beberapa pertandingan sepanjang tahun ini menawarkan mata kelayakan bagi temasya berkenaan.

Bagi Liek Hou, dia akan menyertai kejohanan di Turki serta Dubai bulan depan dan April ini dan berharap mampu meraih sebanyak mungkin mata yang diperlukan.

Selain itu, ada beberapa lagi pertandingan yang perlu disertai, namun bergantung kepada perancangan Majlis Sukan Negara (MSN).

"Saingan kelayakan akan dibahagikan kepada empat benua (Asia, Afrika, Eropah dan Amerika) yang bakal beraksi dalam temasya Tokyo 2020 kerana setiap acara hanya akan disertai lapan atlet," kata Liek Hou.

Tumpuan Liek Hou juga pastinya mempertahankan gelaran hatrik dalam Kejohanan Para Dunia yang dijadualkan berlangsung di Basel, Switzerland, Ogos depan.

Dua edisi sebelum ini, iaitu 2015 di Stoke Mandeville, United Kingdom serta Ulsan, Korea Selatan dua tahun kemudian menyaksikan dia tampil cemerlang mengungguli kategori SU5.

Ia satu detik bersejarah buat sukan badminton para apabila Kejohanan Dunia diadakan serentak dengan atlet normal.

"Peluang saingan sangat terbuka tetapi kami masih belum mengetahui kebolehan atlet dari China dan selepas berakhir perayaan Tahun Baru Cina ini, saya akan kembali ke gelanggang untuk berlatih," ujarnya.