Selangor United MPSJ meletakkan sasaran tinggi dalam kemunculan semula mereka apabila mahu menjadi juara kategori lelaki dan wanita dalam Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang akan membuka tirai di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, Sabtu ini.

Pasukan itu, yang hanya menggunakan nama MPSJ sebelum ini, tidak beraksi tahun lalu dan terpaksa bersaing dalam peringkat kelayakan bulan lalu.

Skuad lelaki Selangor United cemerlang selaku dua pasukan terbaik manakala skuad wanita pula muncul empat pasukan terbaik untuk melayakkan diri ke liga utama musim ini.

Sememangnya, kehadiran semula pasukan itu menggerunkan pihak lawan setelah skuad lelakinya dua kali menjadi naib juara pada 2013 dan 2014 tatkala skuad wanita juara pada 2015 dan 2016.

"Mungkin kami akan cuba untuk menjadi juara sebab sebelum ini kami antara lima pasukan terbaik.

"Tetapi saingan kali ini nampak seimbang, jadi kami perlu berusaha lagi untuk mendapatkan gelaran," kata kapten pasukan lelaki yang juga pemain negara, Mohd Firdaus Razali.

"Bagi saya, semua pasukan sama kuat tetapi ia bergantung kepada semangat dan kerja keras dalam latihan. Saya harap pasukan Selangor United boleh pergi lebih jauh," kata kapten pasukan wanita, Steffi Sarge Kaur.

Kedua-dua pemain itu ditemui dalam majlis ringkas pelancaran jersi dan pengenalan pemain lelaki dan wanita pasukan berkenaan di Subang Jaya, hari ini.

Selain Firdaus, skuad lelaki Selangor United diperkuatkan tiga pemain futsal negara, iaitu Syed Aizad Daniel Syed Nasir dan Muhamad Aidil Shahril Rosli.

Sementara itu, skuad wanita turut dibarisi empat pemain negara, Fatin Shahida Azmi, Nur Shazreen Munazali dan Norhawa Md Yasin.