Lebih 3,500 peserta akan mewarnai Larian Pisompuruon sempena sambutan Hari Malaysia di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, 16 September ini.

Pengerusi Penganjur, Felix Joseph Saang, berkata jumlah peserta larian yang dianjurkan Yayasan Kepimpinan Momogun itu akan melebihi jumlah 3,000 peserta tahun lalu.

"Saya mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua jawatankuasa dalam mempromosikan larian ini.

"Antara tujuan kami menganjurkan larian yang memasuki edisi keempat ini adalah untuk menyemarakkan lagi semangat Hari Malaysia, khususnya dalam kalangan orang Sabah sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Felix berkata bagi menyemarakkan lagi Larian Pisompuruan kali ini, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sebelum larian bermula pada jam 4 petang sehinggalah acara penutup.

"Antaranya pameran dari Muzium Negeri Sabah berkenaan dengan pembentukan negara Malaysia, 'food truck,' gerai pameran, jualan makanan dan yang paling menarik, cabutan tiket bertuah dengan hadiah utamanya ialah sebuah motosikal serta banyak lagi hadiah menarik.

"Selain itu, beberapa artis undangan juga akan hadir memeriahkan larian pada hari berkenaan, antaranya Rey Kimara, Felix Agus dan beberapa lagi artis tempatan yang turut diundang," katanya.

Sehubungan itu, Felix menyeru orang ramai untuk memeriahkan acara itu dengan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Wilfred Madius Tangau, akan turut hadir untuk merasmikan acara berkenaan.