Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, Datuk Rosmadi Ismail, menganggap latihan kebangsaan berskala adalah antara medium utama yang akan disertakan dalam rangka tindakan bola sepak pantai yang akan diketahui keputusannya dalam tempoh dua bulan lagi.

Bagi menghidupkan aura sukan ini, pelan rangkaan telah pun dibuat agar melewati perkembangan seiring dengan futsal mahupun bola sepak.

Pelan latihan berskala skuad kebangsaan adalah keutamaan yang perlu dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) demi memastikan perkembangan pemain tidak terhenti dalam tempoh yang lama.

"Saya telah pun berbincang dengan pihak pengurusan dan mungkin akan memanggil pemain lebih awal. Kerana setiap kali kejohanan, pemain memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, terutama dalam aspek stamina.

"Ini kerana bola sepak pantai ini memerlukan stamina yang amat tinggi," jelas Rosmadi.

Seiring dengan usaha terbaru daripada FAM, seramai 10 pemain telah diumumkan bagi mewakili negara dalam Kejohanan Bola Sepak Pantai Antarabangsa Ke-2 di Busan, Korea Selatan bermula esok hingga 17 September ini.

Skuad negara dijadualkan sekali lagi berhadapan Kejohanan Jemputan di China, November ini.

"Berdasarkan apa yang dijelaskan jurulatih, kami pergi bagi mendapatkan pendedahan dan pengalaman. Tiada sasaran tetapi kami akan cuba buat yang terbaik," ujar kapten skuad bola sepak pantai negara, Mohd Zaharim Yusof.