Jaguh lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, tetap menyasarkan kedudukan ranking nombor satu dunia meskipun kejohanan pertamanya hanya akan bermula dalam Sukan Para ASEAN Filipina, Mac depan.

Kecederaan buku lali menyaksikan atlet kelahiran Perlis itu gagal mencipta kejuaraan hatrik dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di Dubai, November lalu.

Namun, dia sudah semakin pulih dan bersedia untuk menghadapi temasya di Filipina itu sebelum berjuang dalam Kejohanan Terbuka Paris bagi memburu tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Baginya, usaha itu mampu dicapai seandainya mampu melakukan catatan sejauh 7.50m.

"Selepas Sukan Para ASEAN, saya mungkin akan menyertai beberapa kejohanan terbuka seperti Terbuka Paris untuk berada dalam ranking IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa).

"Ia mungkin berlangsung dalam bulan puasa.

"Saya sudah biasa dengannya, jadi tiada masalah," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Latif turut gembira dengan jalinan kerjasama di antara Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dan delegasi dari bandar Miyoshi, Jepun menjelang Sukan Paralimpik Tokyo.

"Kalau dapat ke sana (Tokyo) seminggu lebih awal, ia amat bagus kerana kami dapat menyesuaikan diri dengan cuaca di sana," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa