Cabaran Badi Ultra Trail (BUTC) kembali dianjurkan tahun ini di Tamu Inobong, Penampang, pada 7 April depan.

Larian anjuran Yayasan Bahasa KadazanDusun (KLF) dengan kerjasama EduLife Berhad itu kali ini bertemakan "Berlari dan Mengumpul Dana".

Ia bertujuan mengajak penglibatan masyarakat mengumpul dana bagi menyokong program dan aktiviti yang dijalankan oleh KLF serta EduLife untuk masyarakat pedalaman dan kawasan terpencil di Sabah.

Cabaran berlari dalam hutan itu menawarkan penyertaan tiga jarak perlumbaan iaitu 12 kilometer, 25km dan 50km untuk kategori lelaki dan wanita.

"Dana yang berjaya dikumpul ini akan digunakan untuk memberi sokongan kewangan dan pendidikan untuk anak-anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah di kawasan pedalaman.

"Selain itu, ia juga akan digunakan untuk menyokong aktiviti-aktiviti pembangunan, promosi dan memupuk pengunaan bahasa dan kebudayaan Kadazan atau Dusun," kata pengerusi penganjur, Datuk Philip Lasimbang.

"Dengan mengambil bahagian dalam acara ini juga, peserta berpeluang menikmati keindahan dan cabaran laluan ini yang menjadi laluan tradisi penduduk kampung menuju ke Tamu Badi untuk menjalankan aktiviti barter (membeli dengan bertukar barang) untuk produk segar serta garam.

"Laluan itu membabitkan kombinasi lorong kecil, jalan berturap dan jalan tidak berturap dengan melalui lereng bukit, sungai, belukar serta hutan tebal," katanya dalam sidang media, baru-baru ini.

Tambah Philip, perlumbaan itu akan bermula dan tamat di Tamu Inobong, Penampang.

Perlumbaan itu juga mendapat sokongan dari Taman-Taman Sabah, Partners of Community Organization Sabah (PACOS Trust), Sabah Amateur Radio Society (SARS), WRS Four Wheel Drive Club (WRS), Persatuan Berbasikal Sabah (SCA), SportsLife Fusion, Majlis Daerah Penampang (MDPG) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi KLF ditalian +60(88)-724852, 724853, fax: +60(88)-724851, email ke [email protected] atau melayari laman sosial facebook di http://www.facebook.com/klf6392g.