Kudat muncul juara kejohanan bola tampar Piala Menteri Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bawah 20 tahun yang berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan, baru-baru ini.

Pasukan itu bagaimanapun terpaksa mengharungi aksi final sengit sebelum berjaya menewaskan Semporna dengan keputusan 3-2 selepas bertarung sebanyak lima set.

Perlawanan akhir itu berkesudahan dengan 25-19, 21-25, 20-25, 25-18 dan 15-11.

Terdahulu dalam aksi separuh akhir, Kudat mengenepikan cabaran Sandakan menerusi keputusan 25-18 dan 25-22, manakala Semporna menundukkan Beluran menerusi set tambahan yang berkesudahan 25-21, 19-25 dan 15-7.

Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh pasukan Beluran selepas mengalahkan pasukan tuan rumah, Sandakan menerusi set terus yang berkesudahan 25-23 dan 25-20 mata.

Menteri Belia dan Sukan Sabah (KBSS) YB Tuan Phoong Jin Tze berkata, kejohanan seumpama itu baik dalam usaha menarik penglibatan belia dari seluruh negeri Sabah untuk terlibat dalam aktiviti sihat.

"Usaha seperti ini sudah tentu mampu melahirkan pemain berkaliber yang dapat membawa cabaran Sabah ke kejohanan kebangsaan," katanya dalam teks ucapan beliau yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Parlimen Sandakan, Amsi Liew sempena majlis penutup kejohanan itu.