Susulan cadangan penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Krisis, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), pemerhati sukan, Datuk Sieh Kok Chi, beranggapan kuasa Pesuruhjaya Sukan (PJS) tidak akan terjejas, malah ia memberikan lebih banyak pilihan buat persatuan sukan kebangsaan untuk menyelesaikan konflik dalaman.

MOM sebagai badan induk buat kesemua persatuan sukan kebangsaan berhak campur tangan dalam konflik dalaman setiap persatuan.

Ia selaras dengan artikel 6.14 perlembagaan MOM di mana setiap persatuan bermasalah boleh mengadakan pertemuan dengan pegawai MOM dan pihak yang enggan berbuat demikian perlu menerima apa sahaja keputusan daripada MOM dalam mencari jalan penyelesaian.

Proses itu perlu dilakukan sebelum membawa masalah itu kepada PJS.

"Apabila bercakap mengenai isu dalaman, perkara pertama ialah ia perlu diselesaikan secara dalaman.

"Perkara kedua, memandangkan mereka adalah ahli MOM, mereka perlu meminta pertolongan daripada badan induk itu.

"Perkara ketiga ialah mereka boleh membawanya kepada persatuan antarabangsa kerana ia merupakan badan utama.

"Itulah cara-cara untuk menyelesaikannya, namun perkara terakhir, mereka boleh berjumpa dengan menteri," katanya.

Ketika ini, antara persatuan yang mengalami kemelut dalaman ialah Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM).

Kegagalan persatuan itu mencari jalan penyelesaian menyaksikan isu dalaman berkenaan diheret hingga ke mahkamah.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih belum melantik PJS baru selepas Datuk Zaiton Othman mengumumkan persaraannya bulan lalu.