Kuartet 4x100 meter wanita negara memberi petanda positif bahawa mereka mampu mengungguli acara itu dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan, selepas meraih pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, hari ini.

Gandingan Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatimah Mohamad, S Komalam Shally dan Nurul Faezah Asma Mazlan berjaya menewaskan pesaing dari Singapura dengan catatan masa 46.01 saat.

Ternyata, Zaidatul selaku pelari keempat cemerlang untuk menamatkan larian di tempat pertama biarpun dicabar hebat Nur Izlyn Zaini dari Singapura dengan perbezaan 0.05 saat untuk menghadiahkan emas buat negara.

"Sememangnya kami mahu memenangi emas.

"Tetapi dalam kejohanan ini, kami masih dalam persiapan (menghadapi Sukan SEA) dan mencari keserasian kedudukan pelari," ujar Zaidatul.

Namun, mereka tidak berpuas hati dengan catatan masa yang dilakukan memandangkan gandingan keempat-empat atlet itu pernah mencipta rekod kebangsaan acara itu menerusi catatan masa 45.33 saat dalam kejohanan sama, tahun lalu.

Bagaimanapun, saingan dalam Terbuka Singapura itu belum lagi benar-benar menguji kemampuan atlet di mana mereka masih ingin mencari keserasian dalam menentukan kedudukan posisi pelari yang sesuai.

Perkara itu disuarakan oleh Siti Fatimah, yang mahu beberapa aspek diperkemaskan lagi andai mereka mahu menyerlah dalam temasya Ogos nanti.

"Kami masih lagi teragak-agak semasa menyerah dan menerima baton, jadi ini harus diperbaiki untuk menghadapi Sukan SEA nanti," katanya.