Impian melihat stadium ragbi sulung negara semakin tercapai selepas Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, menjelaskan mereka kini hanya menunggu kata putus Perbadanan Putrajaya mengenai lokasi stadium berkenaan.

Kos pembinaan stadium itu dianggarkan RM10 juta dengan kemampuan menempatkan 5,000 penonton .

Menurut Shahrul Zaman, pihak KRM hanya menunggu kata akhir Perbadanan Putrajaya yang secara asasnya bersetuju stadium itu dibina di sana.

"Kami masih menunggu keputusan muktamad daripada Perbadanan Putrajaya tentang lokasi stadium ragbi Malaysia.

"Saya harap Perbadanan Putrajaya dapat memberikan keputusan secepat mungkin kerana peruntukan sudah ada," katanya ketika ditemui dalam Karnival Program Pembangunan Ragbi Kebangsaan (NRDP) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Seramai 3,000 pelajar daripada 235 sekolah mengambil bahagian dalam kejohanan yang melibatkan peringkat umur bawah 11 hingga 17 tahun itu.

"Sebenarnya, penganjur terpaksa menolak penyertaan beberapa sekolah lagi kerana kekangan padang.

"Kalau kami mahu jumlah penyertaan yang lebih besar, kami mampu dapatkannya.

"Terima kasih kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara kerana sudi bekerjasama untuk mengadakan Karnival NRDP ini," katanya lagi.