Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, tidak kisah jika Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang untuk menukar lokasi Stadium Ragbi Malaysia walaupun dengan saiz yang lebih kecil.

Menurutnya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bercadang untuk menukar lokasi stadium itu daripada Putrajaya kepada Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, dalam perjumpaan tahun lalu, sekali gus meneruskan usaha mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, untuk membina stadium ragbi pertama buat negara.

Namun, ia tidak menjadi masalah buat KRM kerana setiap lokasi mempunyai kelebihan dan kekurangan.

Apa yang penting, katanya, skuad negara mempunyai stadium tetap untuk menjalani latihan.

"Syed Saddiq sudah berjumpa dengan kami untuk bertanya persetujuan daripada pihak KRM sekiranya vanue stadium tersebut diubah dari Putrajaya ke Bukit Jalil.

"Bagi pihak KRM, kami mengalu-alukan cadangan tersebut kerana Bandar Sukan Bukit Jalil juga merupakan lokasi yang strategik.

"Ada kebaikan dan keburukan memandangkan jika di Bukit Jalil, stadium tersebut hanya akan mempunyai satu padang.

"Jika di Putrajaya, kami difahamkan ia akan disertakan dengan padang latihan," kata Shahrul Zaman ketika ditemui sewaktu sidang akhbar Kejohanan Ragbi 7's MCKK 2019 di ibu negara, hari ini.