Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) tidak melatah dengan tindakan tuan rumah, Filipina, yang tidak memasukkan ragbi dalam senarai awal acara sukan dalam Sukan SEA 2019, sebaliknya akan terus melaksanakan proses rayuan.

Daripada 30 sukan dalam senarai awal yang dikeluarkan tuan rumah, Filipina, sukan ragbi 7's tidak berada dalam senarai tersebut.

Ia menimbulkan kemusykilan memandangkan Filipina juga mempunyai sebuah pasukan ragbi yang mantap dan pernah memenangi pingat perak acara lelaki ketika edisi 2007 di Nakhon Ratchasima, Thailand.

KRM tidak melatah dengan senarai awal itu dan akan meneruskan rayuan rasmi kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Isnin ini.

"Keputusan ini mungkin belum pasti tetapi kami akan melobi melalui persatuan-persatuan ragbi negara-negara di Asia Tenggara dan kami juga cuba melobi melalui Ragbi Asia," ujar Setiausaha Agung KRM, Jamaluddin Salim.

Selain itu, pihak KRM juga akan mengemukakan surat rayuan kepada Ragbi Asia untuk membantu melobi sukan ini dalam Sukan SEA 2019.

Setakat ini, beberapa negara seperti Brunei, Thailand dan Singapura sudah pun menyatakan persetujuan untuk bersama Malaysia membuat rayuan kepada Filipina.

"Kami akan melobi bersama Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina. Kami memerlukan sokongan besar daripada Filipina, itu yang paling utama," tambahnya.