Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya, akan menyiasat pendedahan pemain negara, Mark Lee, berhubung sikap tidak profesional segelintir pihak dalam kem kebangsaan.

Tempoh hari, pemain kebangsaan, Mark, tampil mendedahkan punca sebenar dia menarik diri daripada menyertai kem kebangsaan kerana mendakwa tiada persefahaman dengan barisan kejurulatihan selain tidak profesional.

Shahrul Zaman memandang serius dakwaan yang dilontarkan itu dan berjanji akan menyiasat perkara berkenaan dengan terperinci.

KRM akan bersidang 6 Jun ini bagi membincangkan pasca kempen skuad 15 sepasukan negara dalam Kejohanan Ragbi Asia Divisyen Perdana di samping mencari pengganti kepada ketua jurulatih, Lee Nyuk Fah, yang meletak jawatan susulan masalah kesihatan.

"Saya tidak menidakkan dakwaan Mark Lee. Kami akan membuat siasatan dan mendapatkan maklumat tentang apa yang beliau nyatakan.

"Cuma kami kesal surat itu tular di media sosial dan media. Bukan kami mahu sorok (berita ini)," katanya.
Sementara itu, pemain ragbi negara, Azmir Zainal Abidin, memberi saranan agar Pengarah Teknikal Ragbi Malaysia, Brad Mika, memikul tanggungjawab ketua jurulatih.

Mika, yang merupakan bekas pemain New Zealand All Blacks, mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa.

Sebelum ini, terdapat juga saranan untuk mendapatkan khidmat Mika secara sepenuh masa, namun dia mempunyai komitmen dengan pasukan kelab, Sabah Eagles.

"Brad mempunyai pengalaman luas dalam dunia ragbi, apatah lagi pernah mewakili pasukan All Blacks.

"Mungkin ada perkara yang berbeza (yang boleh ditawarkan) dan boleh dikongsikan dengan pasukan negara," ujar Azmir.