Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) didenda USD10,000 (kira-kira RM41,100) kerana tidak menyertai Divisyen Satu, Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Bawah-19 (B-19) 2018 di Bangkok, Thailand, pertengahan Disember lalu.

Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika mengesahkan perkara itu, berkata pihaknya telah membuat rayuan kedua kepada Kesatuan Ragbi Asia (Ragbi Asia) baru-baru ini selepas badan induk itu mengurangkan denda tersebut kepada USD9,000 (kira-kira RM37,000) selepas rayuan pertama pada akhir Disember lalu.

Beliau berkata KRM tidak dapat menghantar pasukan remaja negara menyertai kejohanan tersebut dengan anggaran kos RM80,000 kerana menghadapi masalah kewangan pada suku terakhir 2018 dan lewat mendapat kelulusan penajaan daripada sebuah syarikat korporat.

“Kami menghadapi masalah kewangan kerana tuntutan kami kepada pihak MSN (Majlis Sukan Negara) tidak dapat dijelaskan sepertimana sepatutnya. Kami faham mereka juga menghadapi masalah kewangan dan kami hargai jasa mereka selama ini.

“Selain itu, permohonan dana daripada sebuah syarikat korporat juga baru mendapat kelulusan selepas kami maklumkan kepada Ragbi Asia bahawa kami tidak menyertainya.

"Kami hubungi kembali Ragbi Asia untuk menyatakan kesediaan menyertainya dengan melakukan langkah penjimatan seperti menaiki bas ke Bangkok.

“Bagaimanapun, tempat kamitelah pun diambil pasukan China pada waktu itu. Ini satu pengajaran amat bermakna dan kami berasa sedih kerana pemain telah berlatih tetapi tidak dapat menyertai pertandingan itu,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan Liga Ragbi Malaysia di Wisma OCM, hari ini.

Beliau berkata keputusan sukar itu juga terpaksa dibuat kerana saingan Piala Agong sedang berlangsung ketika itu.

Ragbi Asia dijangka membuat keputusan mengenai rayuan kedua KRM dalam mesyuarat exco badan ragbi Asia itu di Sandakan, Mac depan.

Dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Bang-Bon, Bangkok pada 11 hingga 14 Disember itu, Singapura muncul juara untuk meraih tiket ke Divisyen Utama ARC 2019.

-- BERNAMA