Kota Marudu tuai emas pertama Sukan Sabah (SAGA) kali ke-9 apabila memenangi acara berbasikal 200 meter pecut yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, Keningau, hari ini.

Lebih manis, atlet kontinjen Kota Marudu memenangi kedua-dua kategori acara berkenaan iaitu lelaki dan wanita.

Emas pertama dimenangi Chika Cherryca Chia yang menang perlumbaan final kategori wanita bertemu Nur Armirah Syamsiah Jafrin.

Selepas itu, Lee Jun pula menceriakan kem Kota Marudu selepas menewaskan Steven Lee daripada Tawau.

Sementara itu, Tambunan menghampiri separuh akhir acara bola sepak wanita selepas menang 2-0 ke atas Tuaran dalam aksi kumpulan B manakala saingan kumpulan A menyaksikan Kota Kinabalu membelasah Sandakan 4-0, bagaimanapun, dua pasukan berkenaan sudah mengesahkan tiket ke separuh akhir.

Bagi acara bola sepak lelaki yang bermula hari ini pula, tuan rumah, Keningau memulakan saingan dengan langkah kanan selepas menewaskan Sandakan 2-1 manakala Tenom menang 3-1 ke atas Kota Belud dalam aksi kumpulan A.

Dalam aksi kumpulan B pula, Tawau sekadar seri tanpa jaringan dengan Sipitang.