Timbalan Presiden Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM), Mohd Iruan Zulkifli, lega apabila Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membatalkan kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Wuhan, China, yang dibelenggu penularan wabak koronavirus.

IOC mengumumkan Amman, Jordan, sebagai venue kejohanan kelayakan temasya itu untuk menggantikan venue di Wuhan, Mac depan.

Keputusan itu terpaksa dibuat selepas puluhan rakyat China meninggal dunia ekoran wabak koronavirus, sekali gus mengundang risiko besar jika diteruskan.

PTAM menyambut baik keputusan jawatankuasa itu demi keselamatan peninju negara, dengan Malaysia sepatutnya menghantar seorang peninju, Jemise Wong, dalam kategori 57kg.

“Saya berterima kasih kepada IOC kerana membatalkan kejohanan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Wuhan atas kes wabak ketika ini.

"Kami perlu memikirkan soal keselamatan atlet negara," katanya hari ini.

Kali terakhir peninju negara beraksi dalam Sukan Olimpik ialah menerusi Sapok Biki dalam edisi di Atlanta pada 1996.



Editor: Shaiful Shamsudin