Institut Sukan Negara (ISN) meminta skuad terjun negara, yang diketuai Pandelela Rinong, supaya tidak panik dan mengikut arahan pihak keselamatan di Chengdu, China bagi mengelakkan jangkitan wabak novel koronavirus.

ISN sentiasa memantau keadaan empat perenang negara yang sedang berlatih di China itu sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Berdasarkan satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mana-mana individu yang pulang dari negara yang berlakunya kes jangkitan novel koronavirus dan memiliki simptom-simptom jangkitan itu, perlu menjalani ujian saringan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tetapi buat penerjun negara, mereka akan terus dibawa ke ISN untuk menjalani ujian saringan di sana.

Penerjun negara, Pandelela dan Leong Mun Yee, akan pulang ke tanah air Sabtu ini manakala Wendy Ng Yan Yee dan Enrique Harold pula akan menyusul pada 13 Februari depan.

"Kami akan melakukan pemeriksaan terhadap atlet terjun yang akan pulang dari China," kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli.

"Kami akan melakukan tindakan susulan sekiranya perlu berdasarkan kepada pemeriksaan tersebut."



Editor: Muzaffar Musa