Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berharap tuan rumah Sukan Para ASEAN 2020, Filipina, tidak akan mengambil kesempatan di atas penularan wabak novel koronavirus untuk menunda temasya itu yang sepatutnya berlangsung bulan depan sambil menegaskan fokus atlet para negara untuk layak ke Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos depan.

Penganjuran Sukan Para ASEAN edisi kali ini semakin tidak menentu apabila terbit desas-desus mengenai penundaannya daripada tarikh 21 Mac ini.

Ia bukan kali pertama memandangkan tuan rumah itu pernah menunda temasya berkenaan bulan lalu disebabkan faktor kewangan.

"Setakat ini, pihak MPM tidak mendapat sebarang maklum balas secara bertulis atau secara rasmi," kata Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin.

"Kami masih lagi menunggu sama ada ia (penundaan) masih disebabkan masalah kewangan atau mereka menggunakan koronavirus sebagai alasan."

Megat Shahriman menegaskan jika penundaan itu menghampiri tarikh Sukan Paralimpik Tokyo pada 25 Ogos depan, keutamaan akan diberikan untuk membutirkan pingat emas dalam temasya terbesar itu.

"Kami kena timbang mana yang lebih penting.

"Sama ada ia memberikan kesan atau tidak, pada akhirnya kami perlu mengadakan perbincangan dengan KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) untuk menentukan apa yang terbaik buat atlet," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa