Sesi taklimat penstrukturan Program Podium dan Kita Juara menjelaskan bahawa kontrak barisan atlet dan jurulatih negara hanya akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan, Selasa dan Rabu depan.

Sesi hari ini dihadiri Ketua Program Podium, Dr. Vella Pandian, dan Pengarah Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.

Perjumpaan selama dua hari di Institut Sukan Negara (ISN) itu mengutamakan penerangan mengenai perancangan program latihan terkini seiring dengan penstrukturan semula program latihan atlet.

Hanya 100 atlet terlibat dalam sesi kali ini berbanding 222, semalam.

Atlet dan jurulatih diberikan penerangan mengenai kontrak baru yang akan ditawarkan menjelang tahun 2019.

Beberapa persoalan turut dibangkitkan, terutama mengenai tahap layanan adil buat kesemua atlet dalam setiap empat peringkat yang ditetapkan.

"Kami telah menyampaikan taklimat kepada atlet pelapis dan Kita Juara.

"Dalam sesi kali ini, kami telah menerangkan tentang sistem teori yang akan digunakan dan kejohanan-kejohanan tumpuan tahun depan," kata Jefri.