Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menasihatkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) supaya tidak terburu-buru untuk melantik Harun Rasheed sebagai jurulatih pecut kebangsaan.

Syed Saddiq menyokong pandangan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) supaya KOM tidak berdepan penggantungan daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dengan mengingkari hukuman penggantungan terhadap Harun.

“Adamas, yang merupakan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang mengendalikan isu doping, memaklumkan kes ini amat jelas dan pada masa sama, kalau keputusan dibuat secara terburu-buru, kesannya agak buruk, terutama di peringkat antarabangsa.

“Jadi saya kekal dengan pandangan yang diberikan ADAMAS. Kita mesti mematuhi peraturan, itu paling mustahak,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis perhimpunan mesra bulanan dan sambutan ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan baru peringkat KBS di Menara KBS di Putrajaya, hari ini.

Presiden baru KOM, Datuk S. M. Muthu, berhasrat untuk melantik Harun yang masih menjalani hukuman penggantungan sebagai jurulatih pecut kebangsaan.

Susulan itu, ADAMAS menasihatkan supaya KOM mengemukakan rayuan kepada IAAF dan WADA terlebih dahulu untuk mengurangkan hukuman itu yang masih berbaki dua tahun itu sebelum melantik Harun.

Untuk rekod, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 2011 menjatuhkan hukuman penggantungan selama 10 tahun kepada bekas jurulatih pecut kebangsaan berkenaan atas dakwaan menjadi dalang terhadap isu enam atlet negara melarikan diri daripada ujian doping.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata pihaknya akan meneruskan pembangunan hoki di peringkat akar umbi dengan mengambil Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN) sebagai contoh.

“Kami dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) memang nak teruskan program di peringkat akar umbi, Program Thunderbolt. Sebelum ini, kami sudah capai kata sepakat dengan TNB, cuma saya rasa sebab ada pertukaran di antara pimpinan TNB, kami perlu jumpa balik dan berunding semula.

“Jadi, kami akan pastikan ia dapat dimuktamadkan secepat mungkin sebab dalam bola sepak, PPBN telah mendapat peruntukan daripada Kementerian Kewangan buat pertama kali, iaitu berjumlah RM15 juta setiap tahun.

“Bagi hoki pula, kami akan lakukan perkara yang sama, khususnya selepas perkembangan skuad hoki wanita menyaksikan pasukan kita meningkat dua tangga ke kedudukan ke-20 dunia dan meraih tempat ketiga dalam pusingan akhir Kejohanan Hoki Siri FIH di Banbridge, Ireland Utara, baru-baru ini,” katanya.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan pembangunan sukan hoki negara berhadapan risiko besar berikutan status program pengganti bagi Program Pembangunan Hoki 1Mas, yang dimulakan pada 2010 masih belum diketahui sejak setahun lalu.

-- BERNAMA